Pra Gawai Meradong Perkukuh Jalinan Rakyat Bersama Pemimpin
MERADONG: Program Pra Gawai Hari Ke-14 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong terus memperkukuh jalinan antara rakyat bersama pemimpin menerusi siri lawatan ke beberapa rumah panjang di Ulu Binatang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang mengetuai lawatan tersebut menyifatkan ianya sebagai usaha berterusan mendekati rakyat serta menyantuni komuniti rumah panjang menjelang sambutan Hari Gawai Dayak.
Sepanjang program, Datuk Ding berkesempatan beramah mesra dengan penduduk selain mendengar sendiri pandangan, keperluan serta isu semasa yang dihadapi komuniti setempat.
Pendekatan turun padang ini bukan sahaja merapatkan hubungan pemimpin dan rakyat, malah membuka ruang perbincangan langsung berkaitan pembangunan kawasan.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan geran khas Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang bagi menyokong pelaksanaan aktiviti komuniti sempena sambutan Gawai tahun ini.
Menurut beliau, peruntukan tersebut diharap dimanfaatkan secara optimum khususnya dalam meningkatkan kemudahan dan pembangunan infrastruktur setempat, di samping menekankan aspek pengurusan dana secara telus, berhemah dan bertanggungjawab.
Suasana lawatan turut diserikan dengan sambutan mesra penduduk yang mula membuat persiapan awal menyambut Gawai, sekali gus mencerminkan keunikan budaya masyarakat Sarawak yang menitikberatkan semangat kekeluargaan dan perpaduan.
Dalam perkembangan berkaitan, keprihatinan beliau turut terserlah apabila sempat berhenti membantu mangsa kemalangan di jalan utama Nanga Lasi ketika dalam perjalanan meneruskan lawatan.
Beliau turut menzahirkan simpati kepada mangsa serta berharap agar mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan. -EDISI UKAS