SDEC Sasar Jadikan Sarawak Hab Inovasi Global Melalui PCDS 2030
SIBU: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SDEC) menggiatkan peranannya sebagai pemangkin strategik bagi menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam usaha meletakkan negeri ini sebagai hab idea, bakat, dan peluang di peringkat global.
Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir Ts Sudarnoto Osman berkata, peranan SDEC adalah untuk menjadi pencetus kepada pertumbuhan, inovasi, dan keterangkuman merentasi landskap digital Sarwak selaras dengan matlamat kerajaan negeri.
"Di bawah misi SDEC, kami mempunyai komitmen yang jelas untuk memperkasakan rakyat, mencetuskan idea, dan mencipta impak yang mampan untuk Sarawak.
“Inovasi sebenar bukan sekadar penciptaan perkara baharu, tetapi membawa idea tersebut kepada realiti yang membina perniagaan dan meningkatkan komuniti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menympaikan ucapan penutupan di Demo Day TechFrontier Explorer (TFE) x SCENT Kohort 2 yang berlangsung di Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Dato Ir Ts Sudarnoto menjelaskan bahawa inisiatif seperti Demo Day merupakan batu lonjakan penting dalam inisiatif 'Tech to Impact' bagi memastikan inovasi tidak hanya kekal secara teoritikal, tetapi menjadi realiti yang relevan dan memberi impak kepada masyarakat.
Program tersebut menyaksikan kerjasama erat antara SDEC, UTS sebagai rakan aksdemik proaktif, dan Leave A Nest Malaysia melalui program SCENT yang memperkenalkan metodologi sains dan pendidikan keusahawanan yang terbukti.
"Kolaborasi ini mencerminkan kekuatan kerjasama antara akademik, industri, dan kerajaan dalam membina generasi inovator Sarawak yang akan datang.
“UTS telah memainkan peranan penting dalam membuka ruang untuk pelajar meneroka komersialisasi dan mempamerkan hasil kerja mereka," jelasnya.
Program berkenaan trut menonjolkan sembilan pasukan finalis antaranya Aurumville Technologies dan MedTech Integrated Triage Patch (5 Flat) yang telah melalui latihan intensif sejak Mac lalu, termasuk sesi bimbingan dan sesi 'Pre-Demo Day'.
Selain finalis, enam pasukan lain turut mengambil bahagian dalam sesi 'Lightning Talk' termasuk pasukan 1Infinite, DevSync, Radiant, Kencana (RiseRight), Ferrum Eight, dan Jujutsu Kaisen.
Mengambil inspirasi daripada kejayaan Kohort 1 di Kampus Swinburne Sarawak, Kuching pada tahun lalu, beliau menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sekadar pertandingan, tetapi pelantar untuk perjalanan keusahawanan sebenar.
"Apa yang kita bentuk hari ini adalah satu pergerakan yang mampu berkembang menjadi legasi untuk generasi akan datang. Perjalanan ini tidak berakhir di sini, malah ia baru sahaja bermula," katanya lagi.
Turut hadir, Timbalan Dekan School of Computing Creative Media UTS Dr Yiiong Siew Ping, Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Produk SDEC Dr Khairul Hafiz Sharkawi, Pengarah Urusan Leave A Nest Malaysia Abdul Hakim Sahidi, Penolong Setiausaha Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) Roderick Sunang Bilin, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Stinablis Sdn Bhd Jacob Jim dan Pensyarah Sains Komputer UTS Zahiruddin Ibrahim. -EDISI UKAS