SRI AMAN: ROBOCLASH Challenges 2026 berjaya menarik penyertaan daripada 19 buah sekolah seluruh Sarawak dalam program teknologi dan robotik yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman pada 2 Mei lalu.
Program yang memasuki penganjuran kali kedua bagi tahun ini itu menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu dalam bidang robotik dan teknologi dron, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah.
Sebanyak tiga kategori utama dipertandingkan iaitu Drone Soccer, Sumo Robot dan Drone Obstacle yang bukan sahaja memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi masa depan, malah memupuk kreativiti, inovasi serta kemahiran penyelesaian masalah.
Pihak penganjur, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) memaklumkan program berkenaan akan diteruskan lagi pada masa akan datang dengan lokasi seterusnya dijadualkan berlangsung di Serian.
Bagi kategori Drone Soccer, pasukan yang dianggotai Johnson Teo Wen Hao, Jonas Teo Wen Yao dan Dylan Pui Chern Yong muncul juara, manakala tempat kedua dimenangi Clerent Frank Harris, Alston Jalak Collins dan Emma Wanda Mayang Wellesley.
Tempat ketiga pula menjadi milik Mohammad Fayyadh Haneef Mohd Fazil Hanafi, Ammizar Rafif Azrol dan Muhammad Zullmukris Muhammad Sulaiman, sementara Sebastian Chen Zhu An, Solomon Chen Zhu Le dan Jayden Ngu Khien Pheng berada di tempat keempat.
Dalam kategori Drone Obstacle, gandingan Ariel Taylor Andy Newton dan Julius Meier Hayek Medecci Lineil berjaya merangkul gelaran juara.
Naib juara dimenangi Jody Teo Wen Cheng dan Jayden Sim Zhi Heng, diikuti Jarrett Bong Zhen Hong bersama Lucas Ho Shaw Qi di tempat ketiga.
Hadiah saguhati pula menjadi milik Bernice Bong Xin Thong dan Chung Sze Jing.
Selain pertandingan, program tersebut turut menawarkan mata merit PAJSK kepada peserta dan dilihat mampu menjadi medium berkesan dalam melahirkan lebih ramai bakat muda berpotensi dalam bidang robotik serta teknologi dron di Sarawak. -EDISI UKAS