‘Niti Daun’ Perkukuh Identiti Budaya, Semangat Perpaduan Di Kanowit
KANOWIT: Acara ‘Niti Daun’ sempena Karnival Kebudayaan Kanowit (KCF) 2026 berjaya menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta dan ribuan pengunjung, sekali gus memperkukuh identiti budaya serta berpotensi menjadi tarikan pelancongan tahunan utama daerah Kanowit.
Perarakan sulung tersebut melibatkan 35 kontinjen daripada pelbagai latar belakang termasuk jabatan kerajaan, agensi swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah dan komuniti setempat.
Perarakan bermula dari Pejabat Daerah Kanowit sebelum berakhir di Pentas Utama KCF 2026 di Tebingan Sungai Kanowit.
Sepanjang laluan perarakan, orang ramai membanjiri kawasan pekan bagi menyaksikan kepelbagaian budaya yang dipersembahkan menerusi busana tradisional, tarian kebudayaan serta hiasan kreatif setiap kontinjen.
Suasana turut diserikan dengan paluan muzik tradisional yang menambahkan kemeriahan acara selain menampilkan keunikan warisan pelbagai kaum di daerah berkenaan.
Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang mengetuai perarakan tersebut bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana dan ADUN Machan, Allan Siden Gramong.
Turut hadir Pegawai Daerah Kanowit, Cerisologo Sabut selaku pengerusi penganjur serta Temenggong Stanley Geramong Bandar.
Penganjuran julung kali acara tersebut bukan sahaja menyemarakkan Karnival Kebudayaan Kanowit 2026, malah dilihat mampu menjadi platform penting dalam mempromosikan warisan budaya tempatan serta memperkukuh keharmonian masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.-EDISI UKAS