Pendidikan Jadi Teras Pembangunan Modal Insan Sarawak
MIRI: Pendidikan terus diangkat sebagai pelaburan strategik jangka panjang dalam usaha membentuk masa depan Sarawak yang maju, moden dan berdaya saing menjelang 2030, selaras Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Timbalan Menteri Digital, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, pembangunan modal insan berkualiti perlu diperkasa secara berterusan bagi melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi yang mampu memacu ekonomi negeri pada masa hadapan.
Menurut beliau, kejayaan generasi muda dalam bidang pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik, malah menjadi asas penting kepada pembangunan Sarawak sebagai ekonomi berpendapatan tinggi.
“Pendidikan bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi pelaburan besar dalam membentuk masa depan Sarawak yang lebih maju, moden dan berdaya saing,” katanya ketika berucap semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Pelajar Dayak sempena Sambutan Gawai Dayak Bahagian Miri 2026 pada Sabtu.
Majlis tersebut meraikan seramai 115 pelajar cemerlang melibatkan 66 penerima anugerah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dan 49 penerima peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.
Program anjuran Jawatankuasa Perayaan Gawai Dayak Bahagian Miri itu turut menyaksikan penyampaian insentif tunai keseluruhan berjumlah RM34,600 sebagai penghargaan terhadap pencapaian akademik para pelajar.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FETS) bermula tahun 2026 melibatkan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri seperti Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Curtin University Malaysia, Universiti Teknologi Sarawak dan Kolej Universiti i-CATS.
Menurut beliau, pelajar berstatus “Anak Sarawak” yang mengikuti pengajian ijazah pertama sepenuh masa akan menikmati pembiayaan penuh yuran pengajian bagi program diluluskan khususnya dalam bidang strategik seperti STEM, kewangan dan perakaunan.
Menyentuh perkembangan teknologi semasa, Datuk Wilson mengingatkan generasi muda supaya bersedia menghadapi perubahan pesat dunia digital dan kecerdasan buatan (AI).
Katanya, teknologi AI mampu meningkatkan keberkesanan pembelajaran menerusi penyediaan bahan pendidikan yang lebih cepat, interaktif dan mudah difahami, namun generasi muda perlu bijak menghadapi cabaran dunia digital seperti scam siber, penyebaran berita palsu dan ketagihan media sosial.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada jawatankuasa penganjur sebagai tanda sokongan terhadap penganjuran program berkenaan.-EDISI UKAS