Empat RUU Bakal Dibentang Dalam Persidangan DUN Sarawak Pada 11-20 Mei Depan
KUCHING: Sebanyak empat Rang Undang- Undang (RUU) bakal dibentangkan dalam Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 yang akan berlangsung bermula 11 hingga 20 Mei 2026 di Kompleks DUN Sarawak.
Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, pembentangan RUU Kerajaan oleh Menteri yang bertanggungjawab akan dilaksanakan pada 12 Mei 2026 dan 14 Mei 2026.
“Empat RUU akan diketengahkan ialah RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026, RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026, RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 serta RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sesi sidang media selepas Mesyuarat Pre-Council sempena Persidangan DUN Sarawak yang dipengerusikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), pada Sabtu.
Beliau menambah, RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026 dan RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026 akan dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dengan bacaan pertama pada 12 Mei manakala bacaan kedua dan ketiga pada 14 Mei.
Sementara itu, RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak (2026), katanya, ia akan dibentangkan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom dengan bacaan pertama, kedua dan ketiga pada 12 Mei.
Bagi RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 pula, ujar beliau, ia akan dibentangkan oleh Datuk Amar Douglas Uggah pada 12 Mei melibatkan ketiga-tiga bacaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia memaklumkan sebanyak 333 soalan merangkumi pertanyaan lisan dan bertulis telah diterima daripada 39 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak 254 soalan adalah bagi jawapan lisan melibatkan 37 ADUN, manakala 79 lagi merupakan soalan bertulis daripada 15 ADUN.
Tambah beliau, Jabatan Premier Sarawak menerima jumlah pertanyaan tertinggi dengan sebanyak 50 soalan dikemukakan.
Persidangan kali ini akan dimulakan dengan upacara perasmian oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 11 Mei 2026.
Hadir sama dalam mesyuarat tersebut ialah Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, barisan Menteri kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri serta yang lain.-EDISI UKAS