PBB Sarawak Bakal Anjur Konvensyen Di Empat Zon Bermula Julai
KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak akan menganjurkan konvensyen melibatkan empat zon bermula Julai hingga September tahun ini sebagai usaha memperkukuh parti di peringkat akar umbi.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak merangkap Ahli Parlimen Kapit Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, konvensyen itu akan melibatkan empat zon utama iaitu zon selatan, zon Betong, zon tengah dan zon utara.
“Zon selatan akan dipengerusikan oleh Datuk Amar Fadillah Yusof, zon Betong oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas, zon tengah oleh saya sendiri manakala zon utara dipengerusikan oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak kali ketiga yang dipengerusikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako pada Sabtu.
Dato Sri Alexander menambah, tarikh pelaksanaan bagi setiap zon masih belum ditetapkan dan akan diumumkan selepas mesyuarat penyelarasan dipengerusikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah diadakan dalam masa terdekat.
Menurutnya lagi, tema rasmi konvensyen masih belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan yang akan diadakan kemudian.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa konvensyen tersebut turut menjadi platform untuk memperkukuh organisasi parti sebagai persediaan menghadapi pelbagai kemungkinan termasuk pilihan raya pada masa hadapan.-EDISI UKAS