Hari Ibu Platform Hargai Pengorbanan Dan Kasih Sayang Ibu
KUCHING: Sambutan Hari Ibu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi medium penting untuk memperkukuh penghargaan terhadap pengorbanan dan kasih sayang golongan ibu dalam institusi keluarga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata masyarakat perlu mengambil peluang sempena sambutan Hari Ibu untuk menunjukkan penghormatan dan kasih sayang kepada insan bergelar ibu.
Menurut beliau, walaupun kasih sayang terhadap ibu dizahirkan setiap hari, sambutan Hari Ibu memberi nilai istimewa dalam menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
“Kepada anak-anak, ambillah peluang ini untuk menjadikan Hari Ibu sebagai hari istimewa untuk menunjukkan hormat dan kasih sayang kepada ibu kita.
“Walaupun kita memang menyayangi ibu setiap hari, tetapi kita menggunakan Hari Ibu ini sebagai hari yang istimewa untuk meraikan ibu kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak kali ketiga di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako pada Sabtu.
Dato Sri Nancy turut menyeru para suami agar menghargai isteri yang telah berkorban dan memainkan peranan sebagai ibu kepada anak-anak.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Sambutan Hari Ibu yang bertemakan “Seteguh Kasih Ibu” peringkat Kebangsaan tahun ini akan diadakan pada 10 Mei di Dewan Tun Hussein Onn dan dirasmikan oleh Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Tambah beliau, semua negeri turut akan mengadakan sambutan masing-masing termasuk Sarawak yang dijadual berlangsung pada 14 Mei.-EDISI UKAS