Juruaudit Perlu Berintegriti Perkukuh Tadbir Urus Perkhidmatan Awam
KUCHING: Juruaudit dalam Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015 perlu memainkan peranan lebih tegas dan berintegriti dalam memperkukuh tadbir urus serta memastikan sistem penyampaian perkhidmatan awam kekal telus, cekap dan berkesan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee berkata, juruaudit tidak seharusnya hanya memenuhi keperluan audit semata-mata, sebaliknya perlu memahami sistem, menilai risiko dan mencadangkan penambahbaikan yang praktikal.
Menurut beliau, audit berkualiti perlu melangkaui pendekatan “tick the box” dengan memberi penekanan terhadap keberkesanan sistem dan impaknya kepada penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Audit bukan hanya melaporkan masalah, tetapi membantu memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan semasa majlis penutupan Bengkel Juruaudit Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015 pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan integriti juruaudit amat penting khususnya ketika mengendalikan audit melibatkan aspek sensitif seperti perolehan dan pemilihan pembekal.
Tambah beliau, setiap dapatan audit perlu disampaikan secara profesional, berfakta dan berasaskan bukti tanpa kompromi terhadap kebenaran.
Beliau turut menekankan bahawa audit yang berkesan perlu berteraskan tiga elemen utama iaitu integriti, ilmu pengetahuan dan keberanian profesional.
“Tanpa integriti, audit hilang kredibiliti. Tanpa ilmu pengetahuan, audit menjadi cetek. Tanpa keberanian, audit menjadi sekadar formaliti,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak pengurusan dan auditee agar menerima setiap dapatan audit secara terbuka serta melaksanakan tindakan pembetulan dengan serius demi memperkukuh budaya penambahbaikan berterusan dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
Turut hadir Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak, Superi Awang Said.-EDISI UKAS