KMKK Diingatkan Berhemah Di Media Sosial, Elak Sentuh Isu 3R
SIBU: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam memberikan reaksi di media sosial, khususnya melibatkan isu sensitif berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R).
Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, pihaknya sentiasa memantau isu-isu semasa di lapangan termasuk di platform digital bagi memastikan tiada penglibatan pemimpin akar umbi dalam penyebaran maklumat tidak sahih atau berunsur sensitif.
“Saya menyeru KMKK supaya lebih sensitif mengeluarkan komen di sosial media mengenai perkara yang belum pasti kesahihannya.
“Kita pernah dengar kes KMKK di satu kawasan memuat turun komen yang tidak tepat sehingga menjadi isu dan masalah kepada mereka sendiri.
“Saya percaya KMKK merupakan sebahagian daripada kakitangan kerajaan dan kita memang diperhatikan oleh Kerajaan Sarawak melalui media sosial masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan anjuran UKAS, Jabatan Premier Sarawak di Dewan LAKIS Sibu, pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pemimpin di peringkat kampung dan rumah panjang perlu menyemak kesahihan sesuatu maklumat yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp atau YouTube sebelum berkongsi kepada orang lain.
Sehubungan itu, Awang Putrayusrie menyarankan agar KMKK merujuk kepada platform rasmi seperti UKAS bagi mendapatkan informasi yang tepat dan sahih, selain Jabatan Penerangan Malaysia, TVS dan RTM.
“Sebelum kita mengetik telefon bimbit untuk memberi komen, kita perlu menyelidik terlebih dahulu sama ada fakta itu sahih atau tidak. Jika belum pasti, jangan dikongsi,” ujarnya.
Selain isu media sosial, beliau turut menekankan penggunaan aplikasi Talikhidmat sebagai platform rasmi aduan yang lebih sistematik berbanding aduan secara lisan.
Menurutnya, sistem tersebut membolehkan UKAS memantau prestasi agensi kerajaan, di mana setiap aduan atau pertanyaan masyarakat perlu diuruskan dalam tempoh 14 hari.
“Jika selepas 14 hari tiada tindakan, UKAS akan memantau kenapa agensi tersebut tidak memberi respon segera.
“Gunakan platform ini bukan sahaja untuk aduan, malah untuk cadangan pembangunan dan penghargaan kepada agensi yang berkhidmat dengan baik,” katanya lagi.
Beliau turut menyeru komuniti di Sibu supaya bersiap sedia menjelang dua acara besar iaitu Program Sarawakku Sayang pada 26 Jun 2026 dan sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai depan yang bakal berlangsung di bandar itu.
Hadir sama wakil Pejabat Daerah Sibu Elizabeth Pius Kuha; Penolong Pengarah (Pengurus Bahagian) Service Sarawak Sibu Juliana Apa, Ketua Penolong Pengarah UKAS Joachim Paggang Jabong dan Temenggong Stanley Geramong Bandar.-EDISI UKAS