Tanggungjawab Komuniti Penting Bantu PDRM Banteras Jenayah Secara Bersama
SERIAN: Tanggungjawab komuniti dalam membantu pihak polis membanteras jenayah secara bersama amat penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat terus terpelihara.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullah Ishak berkata, kerjasama erat antara masyarakat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu terus diperkukuh menerusi pendekatan kepolisan komuniti yang lebih proaktif dan inklusif.
"Penganjuran Town Hall Discussion PDRM Kontinjen Sarawak 2026 berkonsepkan dialog terbuka menjadi platform kepada masyarakat untuk bertanya secara terus dengan pihak berkuasa bagi membincangkan isu keselamatan serta mencari jalan penyelesaian secara menyeluruh dan berkesan," katanya dalam sesi town hall tersebut di Serian Conference Centre pada Sabtu.
Beliau turut menyentuh isu jenayah scammer yang semakin membimbangkan dan mengingatkan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dengan pelbagai taktik penipuan dalam talian seperti Macau Scam, pinjaman tidak wujud dan pelaburan palsu.
Ujarnya, terlalu banyak kes penipuan transaksi dalam talian yang didengar dan dilihat melibatkan kerugian besar.
Katanya, ada dalam kalangan komuniti masing-masing yang mudah terpedaya tanpa mengira latar belakang sama ada golongan bekerja, pesara, wanita berkerjaya mahupun golongan elit.
Sepanjang sesi berlangsung, pelbagai isu dibangkitkan oleh peserta termasuk keperluan meningkatkan rondaan di kawasan perumahan, keselamatan sekolah, pemantauan jenayah siber serta usaha memperkasakan program kesedaran komuniti.
Turut mendapat perhatian ialah cadangan memperluaskan penggunaan teknologi dan medium digital sebagai saluran penyampaian maklumat keselamatan secara pantas dan berkesan kepada masyarakat. -EDISI UKAS