Raptai Penuh Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak Berjalan Lancar
KUCHING: Raptai penuh bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja Tahun 2026 Peringkat Sarawak berlangsung dengan lancar pada Sabtu, sebagai persiapan akhir menjelang majlis rasmi yang bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg esok (Ahad), di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Sambutan bertemakan 'Pekerja Cemerlang Sarawak Maju Makmur' itu dijadual menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta, kesatuan pekerja serta pengunjung dari seluruh wilayah ini, dalam meraikan sumbangan warga pekerja kepada pembangunan Bumi Kenyalang.
Sepanjang raptai, beberapa pengisian utama majlis telah diselaraskan termasuk persembahan koir medley yang akan mendendangkan lagu 'I Have a Dream, Mulanya Di Sini, Seribu Impian dan Simply The Best' yang menjadi pembuka tirai acara.
Turut diadakan, latihan bacaan ikrar dan ucapan wakil pekerja daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia Sarawak selain penyelarasan protokol bagi ucapan alu-aluan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.
Kemuncak sambutan bakal menyaksikan amanat khas oleh Premier Sarawak, sekali gus memberi tumpuan kepada acara simbolik Sambutan Hari Pekerja 2026 serta pelancaran platform 'JobSarawak', disusuli sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sarawak dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Selain itu, majlis juga akan menyaksikan pelancaran buku bertajuk 'The Hands That Shape Sarawak' terbitan Unit Pengurusan Imigresen Dan Buruh (ILMU) edisi pertama yang akan disampaikan kepada lapan penerima sebagai simbol penghargaan terhadap peranan tenaga kerja.
Antara pengisian lain termasuk acara penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang bagi kategori bukan eksekutif, kategori eksekutif atau kumpulan pengurusan dan profesional sektor swasta serta pertandingan kontinjen paling ceria.
Selanjutnya, majlis akan diteruskan dengan lawatan Premier Sarawak ke reruai pameran, sebelum diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.
Reruai pameran akan dibuka kepada pengunjung sehingga jam 4 petang manakala cabutan bertuah reruai pameran akan diumumkan pada waktu sama.-EDISI UKAS