Sarawak Di Landasan Jadi Kuasa Ekonomi Baharu ASEAN
SRI AMAN: Kekuatan ekonomi Sarawak yang terus berkembang hasil kestabilan politik dan peningkatan keyakinan pelabur asing meletakkan negeri ini di landasan kukuh untuk muncul sebagai kuasa ekonomi baharu di rantau ASEAN.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, perkembangan ekonomi Sarawak kini menunjukkan prestasi signifikan sehingga pendapatan tahunan negeri itu disifatkan menyamai pendapatan terkumpul Pulau Pinang selama 15 tahun.
Menurut beliau, kestabilan politik di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menjadi faktor utama yang meningkatkan keyakinan pelabur asing untuk terus melabur di Sarawak.
Beliau berkata demikian ketika majlis makan tengah hari Pertubuhan Meninggikan Akhlak (PMA) Chee Chuan Khor Sri Aman di Dewan Suarah Sri Aman, pada Sabtu.
Tambah beliau, keyakinan tersebut secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai antara kuasa ekonomi baharu di rantau ASEAN.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, kerajaan negeri akan terus memperkukuh sektor strategik termasuk kesihatan, pendidikan dan infrastruktur bagi memastikan pembangunan mampan dapat dinikmati rakyat secara menyeluruh.
Turut hadir Presiden United Moral Uplifting Society Malaysia, Dato Sri Teh Meng Huat, Presiden Chee Chuan Khor Sri Aman, Temenggong Kueh Aik Seng, para pegawai kanan kerajaan, ketua masyarakat dan penduduk setempat.-EDISI UKAS