Majlis Jamuan Negeri Sempena Pembukaan Persidangan DUN Ke-19 Berlangsung Meriah, Penuh Istiadat
KUCHING: Majlis Jamuan Negeri Bersempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-19 berlangsung meriah dan penuh istiadat di Bangunan DUN Sarawak, di sini, pada Isnin.
Majlis diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut mengiringi ketibaan beliau ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama anakanda Dayang Nurjihan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari.
Sejurus ketibaan tetamu kehormat, lagu kebesaran negeri 'Ibu Pertiwiku' dimainkan sebelum majlis diteruskan dengan persembahan tarian selamat datang bertemakan 'Sarawak Maju Makmur'
Persembahan tersebut menggambarkan keharmonian serta perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini dan dijayakan oleh Artis Tari Majlis Seni Sarawak menerusi karya koreografi Sharifah Pura Wan Hamid.
Para tetamu seterusnya menikmati jamuan makan malam sambil dihiburkan dengan persembahan artis jemputan bersama iringan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak.
Majlis berakhir dengan persembahan finale 'Joget Kenangan Manis' sebelum dif-dif kenamaan beredar meninggalkan majlis.
Jamuan ini diadakan sempena Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan DUN Ke-19 yang berlangsung dari 11 sehingga 20 Mei ini.
Hadir dalam majlis tersebut, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, barisan Timbalan Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ketua-ketua Jabatan serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini & George Embie