Lembaga Padi dan Beras Sarawak Perkasa Industri Beras Premium Ke Pasaran Global
KUCHING: Penubuhan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 disifatkan sebagai langkah strategik kerajaan Sarawak dalam memperkukuh sekuriti makanan, meningkatkan produktiviti pertanian serta memperluas potensi eksport beras premium tempatan ke pasaran antarabangsa.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pelbagai transformasi dasar akan dilaksanakan menerusi penubuhan lembaga tersebut termasuk pembangunan kawasan penanaman padi di atas tanah kerajaan, pewartaan tanah khas untuk pembangunan padi serta penglibatan sektor swasta melalui kerjasama awam-swasta (PPP).
Menurut beliau, pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan industri padi dan beras Sarawak dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, moden dan berdaya saing.
“Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak dengan fokus khusus terhadap pembangunan industri padi dan beras akan terus memperkukuh usaha meningkatkan pengeluaran dan potensi eksport beras premium Sarawak secara lebih tersusun, bersepadu dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Beliau turut menjelaskan bahawa beras premium Sarawak kekal sebagai satu-satunya beras keluaran tempatan yang direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mempunyai lesen eksport antarabangsa termasuk ke Singapura, New Zealand dan Hong Kong.
Mengulas Projek NKEA 11 di Batang Lupar, beliau berkata projek tersebut melibatkan pembangunan kawasan seluas 5,100 hektar yang dijangka memberi manfaat kepada 5,167 peserta.
Namun katanya, pelaksanaan projek berkenaan berdepan cabaran besar khususnya melibatkan isu Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Pembangunan estet padi moden memerlukan penyusunan semula tanah bagi memudahkan mekanisasi yang berkesan serta sistem pengairan dan saliran yang lebih efisien.
“Namun kemajuan pembangunan terbatas disebabkan isu pegangan tanah,” jelasnya.
Menurut beliau, dari tahun 2013 hingga 2025, sebanyak 1,306 hektar kawasan telah dibangunkan dengan infrastruktur primer dan sekunder melibatkan kos keseluruhan RM148.7 juta yang memberi manfaat kepada 664 petani.
Pada masa sama, beliau memberi jaminan bahawa aspek tadbir urus, integriti, akauntabiliti serta langkah pencegahan rasuah akan menjadi antara fokus utama lembaga berkenaan.-EDISI UKAS