Desentralisasi Operasi SEDC Percepat Limpahan Pembangunan Ke Seluruh Sarawak
KUCHING: Cadangan memperluas operasi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) menerusi penubuhan pejabat dan agensi di seluruh negeri dilihat mampu mempercepat pelaksanaan pembangunan serta memastikan manfaat ekonomi dapat dirasai rakyat secara lebih menyeluruh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, pendekatan desentralisasi itu amat penting memandangkan keluasan geografi Sarawak serta potensi ekonomi yang berbeza mengikut kawasan dan wilayah.
Menurut beliau, struktur operasi yang lebih dekat dengan rakyat akan membolehkan setiap kawasan membangunkan kekuatan ekonomi masing-masing secara lebih tersusun, efektif dan responsif terhadap keperluan setempat.
“Dengan adanya pejabat atau agensi di pelbagai lokasi, pelaksanaan projek dapat diselaraskan dengan lebih cepat serta memenuhi keperluan sebenar rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Selasa.
Tambah beliau, setiap kawasan di Sarawak mempunyai potensi tersendiri termasuk dalam sektor pertanian, perikanan, tenaga boleh diperbaharui, pelancongan, pembuatan dan industri hiliran yang perlu dimanfaatkan secara optimum.
Justeru katanya, operasi yang lebih tersusun dan dekat dengan rakyat akan membantu mengurangkan jurang pembangunan antara wilayah selain mempercepat penyampaian inisiatif ekonomi kerajaan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan usaha memperkukuh SEDC bukan sekadar melibatkan penambahbaikan pentadbiran, sebaliknya sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan ekonomi lebih inklusif dan seimbang.
“Pembangunan tidak boleh tertumpu di bandar semata-mata. Kawasan luar bandar juga perlu merasai limpahan kemajuan melalui peluang pekerjaan, keusahawanan dan peningkatan taraf hidup,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, pendekatan tersebut turut membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terlibat secara langsung dalam rantaian ekonomi negeri.
Selain itu, beliau menyifatkan pindaan yang dicadangkan sebagai langkah tepat bagi memperkukuh kecekapan institusi ekonomi negeri agar lebih tangkas mendepani cabaran global serta berupaya menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.
Tegasnya, pelaksanaan pembangunan yang lebih dekat dengan rakyat akan memastikan manfaat kemajuan dapat diagihkan secara lebih adil dan menyeluruh tanpa ada komuniti yang tercicir daripada arus pembangunan negeri. -EDISI UKAS