Sarawak Sasar Jadi ‘Rice Bowl of Malaysia’ Menerusi Penubuhan Lembaga Padi dan Beras
KUCHING: Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 dilihat sebagai langkah strategik Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh keselamatan makanan serta mentransformasikan industri padi dan beras negeri ke arah lebih moden, mampan dan berdaya saing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, penubuhan lembaga tersebut amat penting bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import beras sekali gus merealisasikan aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai “Rice Bowl of Malaysia”.
Menurut beliau, dunia kini berdepan pelbagai cabaran keselamatan makanan termasuk perubahan iklim, konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan global serta sekatan eksport beras oleh negara pengeluar utama yang memberi kesan langsung terhadap bekalan makanan dunia.
“Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak melalui Rang Undang-Undang ini merupakan satu langkah berani dan berpandangan jauh oleh Kerajaan Sarawak.
“Buat pertama kalinya, Sarawak akan mempunyai sebuah badan khusus yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pembangunan industri padi dan beras secara menyeluruh,” katanya ketika membahaskan Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Selasa.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas visi menjadikan Sarawak sebagai pengeluar utama beras negara menerusi peruntukan RM1 bilion bagi pembangunan industri padi dan beras negeri.
Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pengeluaran padi dan beras memandangkan negeri ini memiliki tanah yang luas, sumber air mencukupi serta kemampuan membangunkan pertanian moden berskala besar.
Tambahnya, DUN Opar turut menyahut cabaran tersebut apabila tujuh lokaliti dikenal pasti sebagai kawasan sawah padi yang sedang diusahakan melibatkan keluasan kira-kira 1,089 hektar.
“Untuk membantu golongan petani di kawasan ini, peruntukan sebanyak RM23 juta di bawah Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) bagi DUN Opar disediakan untuk membina infrastruktur asas seperti benteng, sistem saliran dan pengairan, sistem perparitan serta jalan akses pertanian,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau menegaskan sektor pertanian moden berpotensi menarik minat golongan belia melalui penggunaan teknologi dan inovasi seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet of Things (IoT) serta mekanisasi pertanian.-EDISI UKAS