KUCHING: Seramai 4,694 pelajar di Sarawak telah menerima manfaat menerusi pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) setakat 31 Mac ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, seramai 543 pelajar merupakan penuntut di Curtin University Malaysia, manakala 172 pelajar lagi mengikuti pengajian di Kolej Universiti i-CATS.
"Selain itu, seramai 1,959 pelajar menerima manfaat skim berkenaan di Swinburne University of Technology Sarawak Campus, sementara 2,020 pelajar merupakan penuntut di University of Technology Sarawak,"
"Jumlah ini akan pasti meningkat apabila enrolmen pada Jun dan September ini di mana kita akan mensasarkan bahawa 10,000 pelajar di seluruh Sarawak akan menikmati pendidikan percuma mulai tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menurutnya, sebanyak 64 kursus yang telah ditawarkan di bawah FTES setakat ini namun jumlah tersebut boleh disemak semula berdasarkan keperluan semasa industri di Sarawak.
Untuk makluman, seramai 39,839 pelajar Sarawak kini sedang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seluruh Malaysia setakat Februari 2026. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini