Pembaikan Cerun Gunung Ngeli Dipercepat Demi Keselamatan Penduduk Kampung Sual
KUCHING: Usaha mempercepat pelaksanaan Projek Pembaikan Cerun Gunung Ngeli kini giat dilaksanakan menerusi sesi perbincangan teknikal melibatkan pelbagai agensi berkaitan susulan kejadian tanah runtuh yang menjejaskan keselamatan kawasan berkenaan.
Sesi perbincangan pada Selasa menjadi langkah penting ke arah pelaksanaan segera projek pembaikan cerun yang disifatkan amat kritikal demi memastikan keselamatan penduduk Kampung Sual serta pengguna laluan utama di kawasan tersebut terus terjamin.
Perbincangan tersebut dipengerusikan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris bersama agensi-agensi teknikal berkaitan.
Menurut Rodiyah, kejadian tanah runtuh yang dipercayai berpunca daripada hujan berterusan menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan cerun serta keselamatan penduduk setempat yang menggunakan laluan tersebut sebagai akses utama.
“Peruntukan bagi projek pembaikan cerun itu telah diluluskan dan kini berada pada peringkat perbincangan teknikal melibatkan semua agensi berkaitan sebelum pelaksanaan projek dimulakan,” katanya.
Katanya, sesi tersebut memberi tumpuan kepada skop kerja pembaikan termasuk reka bentuk struktur, sistem perparitan, kaedah mitigasi serta penyelarasan pelaksanaan projek bagi memastikan kerja pembaikan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, selamat dan mampan.
Tambah beliau, pelbagai pandangan serta cadangan turut dikemukakan bagi memperkukuh struktur projek supaya mampu bertahan dalam tempoh jangka panjang sekali gus mengelakkan risiko tanah runtuh menjejaskan laluan utama penduduk.
Jelasnya lagi, proses seterusnya kini hanya menunggu sesi libat urus bersama penduduk kampung terlibat bagi mendapatkan surat persetujuan atau ‘consent letter’ sebelum kerja-kerja pelaksanaan dimulakan. –EDISI UKAS