Hari Bersama Komuniti Zon 3 Sungai Apin Platform Kukuh Hubungan Pemimpin dan Rakyat
KUCHING: Program Hari Bersama Komuniti Zon 3 Sungai Apin yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 24 Mei ini di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Apin dilihat mampu menjadi platform terbaik dalam mempererat hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat.
Program julung kali dianjurkan bersama oleh Pusat Khidmat Parlimen Batang Sadong dan Pusat Khidmat dengan kerjasama Persatuan Komuniti Zon 3 Sungai Apin itu melibatkan penyertaan daripada enam buah kampung di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, beliau menyokong penuh penganjuran program tersebut kerana ia menghimpunkan pelbagai aktiviti menarik yang melibatkan semua lapisan masyarakat termasuk golongan kanak-kanak, belia dan warga emas.
Menurut beliau, pendekatan program secara santai membolehkan wakil rakyat turun padang dan berinteraksi secara lebih dekat bersama penduduk bagi memahami keperluan pembangunan di peringkat akar umbi.
“Bagi saya, program secara santai adalah pendekatan terbaik berbanding secara rasmi untuk kita mengetahui apa keperluan di kampung-kampung dan pembangunan yang diperlukan oleh penduduk pada masa kini,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Beliau turut menegaskan kepentingan penglibatan aktif golongan belia bukan sahaja sebagai peserta, malah sebagai penganjur dalam jawatankuasa program bagi memupuk ciri kepimpinan dan melahirkan pemimpin pelapis yang berwibawa.
Tambah beliau, pendekatan itu juga dapat membantu mengelakkan golongan muda daripada terjebak dalam gejala sosial tidak sihat selain memperkukuh semangat kerjasama, kekeluargaan dan perpaduan antara enam kampung yang terlibat.
Katanya lagi, kerjasama erat antara masyarakat amat penting bagi memastikan segala perancangan pembangunan di kawasan tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang bantahan daripada penduduk setempat.
Dalam pada itu, beliau berharap program berkenaan dapat dijadikan acara tahunan dan diperluaskan ke zon-zon lain di bawah DUN Simunjan serta seluruh kawasan Parlimen Batang Sadong pada masa akan datang.
Beliau turut mengajak seluruh penduduk termasuk mereka yang berada di luar kawasan seperti Kuching agar pulang memeriahkan program tersebut bersama ahli keluarga masing-masing.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pegawai Daerah Simunjan Sanuyah Mohamad serta Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Sabli Razak.-EDISI UKAS