Sumitomo Teroka Kerjasama Strategik Pembangunan Karbon Biru dan Paya Bakau di Sarawak
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima kunjungan hormat daripada tiga pegawai kanan Sumitomo Corporation dalam usaha meneroka potensi kerjasama strategik berkaitan pembangunan karbon mampan, pemuliharaan alam sekitar dan projek karbon biru di negeri ini.
Kunjungan tersebut bertujuan membincangkan peluang kerjasama antara pihak Sumitomo dan Kerajaan Sarawak khususnya dalam pembangunan projek berkaitan kawasan paya bakau, karbon biru, pemuliharaan alam sekitar serta pembangunan kredit karbon secara mampan di negeri ini.
Dalam sesi pembentangan, pihak Sumitomo menjelaskan cadangan awal projek yang memberi fokus kepada pendekatan pembangunan berperingkat bermula daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR), kajian kebolehlaksanaan, pengukuhan kapasiti komuniti setempat sehingga kepada pembangunan projek karbon sukarela yang berpotensi menjana kredit karbon pada masa hadapan.
Perbincangan turut menyentuh peluang kerjasama di bawah mekanisme Joint Crediting Mechanism (JCM) antara Malaysia dan Jepun yang berpotensi membuka ruang pembangunan projek karbon yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara.
Pihak Sumitomo memaklumkan bahawa mereka melihat Sarawak sebagai wilayah yang mempunyai kekuatan besar dalam aspek pemuliharaan hutan, biodiversiti, kestabilan dasar kerajaan serta komitmen terhadap pembangunan hijau dan ekonomi rendah karbon.
Sementara itu, Datuk Amar Awang Tengah menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan negeri khususnya yang selaras dengan agenda kelestarian alam sekitar, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan ekonomi hijau.
Beliau turut menekankan bahawa sebarang projek yang dicadangkan perlu mematuhi dasar dan peraturan Kerajaan Sarawak selain memastikan kepentingan rakyat, komuniti tempatan dan pemeliharaan sumber asli sentiasa diberikan keutamaan.
Turut hadir dalam sesi perbincangan itu ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Datu Abdullah Julaihi, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad serta Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam.
Kunjungan hormat tersebut membuka ruang kepada perbincangan awal yang positif ke arah potensi kerjasama strategik dalam bidang pemuliharaan payu bakau, karbon biru dan pembangunan karbon mampan di Sarawak.
Ia sekali gus mencerminkan keyakinan pihak antarabangsa terhadap komitmen Sarawak dalam memperkukuhkan agenda pembangunan lestari dan transformasi ekonomi hijau di peringkat global.-EDISI UKAS