Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak Perkukuh Sekuriti Makanan
KUCHING: Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh sekuriti makanan negeri serta memastikan kestabilan bekalan dan harga beras, khususnya bagi pengguna di kawasan bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menegaskan, meskipun kawasannya tidak terlibat dalam penanaman padi, kepentingan RUU tersebut tetap signifikan kepada masyarakat bandar yang bergantung sepenuhnya kepada rantaian bekalan makanan.
“Rakyat di Tanjong Batu mungkin tidak menanam padi, tetapi mereka membeli beras setiap hari. Apabila harga meningkat atau bekalan terganggu, kesannya dirasai terus oleh isi rumah, khususnya golongan B40, pekerja dan keluarga muda,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi Dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambahnya, penubuhan lembaga berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada sektor pertanian, malah berperanan menyelaras keseluruhan ekosistem industri padi dan beras termasuk aspek penyimpanan, pemprosesan, logistik dan pengedaran.
Menurutnya, langkah itu penting memandangkan Tahap Sara Diri (SSL) beras Sarawak masih rendah iaitu sekitar 21 peratus pada 2024, berbanding sasaran 60 peratus menjelang 2030.
“Jika kita mahu jamin bekalan stabil pada masa depan, kita perlu membina sistem yang kukuh hari ini. Ini termasuk perancangan berasaskan data, penyelidikan serta pembangunan industri secara menyeluruh dari huluan hingga hiliran,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau turut menekankan kepentingan RUU tersebut kepada sektor perniagaan kecil di bandar seperti pengusaha kedai makan, restoran dan pembekal makanan yang bergantung kepada harga bahan mentah yang stabil.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar bandar berindustri seperti Bintulu turut diberi peranan dalam rantaian bekalan beras negeri, khususnya dalam aspek logistik, penyimpanan dan pengedaran.
Selain itu, beliau turut menyokong peranan lembaga dalam aspek pengumpulan data dan penyelidikan bagi memastikan dasar yang dirangka lebih tepat serta berkesan.
Dalam pada itu, beliau mengemukakan tiga cadangan utama iaitu memastikan liputan menyeluruh rantaian bekalan, penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk peniaga dan pengguna, serta pelaksanaan peraturan yang adil tanpa membebankan golongan kecil.
“RUU ini bukan sekadar tentang pertanian, tetapi berkait rapat dengan kos sara hidup, perniagaan kecil dan kesejahteraan rakyat bandar. Apabila pengeluaran luar bandar diperkukuh, bekalan di bandar akan lebih terjamin,” katanya.-EDISI UKAS