Sarawak Perkukuh Akses Pendidikan Bertaraf Dunia Menerusi Kerjasama MASA-UOM
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh pembangunan modal insan apabila Institut Pengurusan Sarawak (MASA) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama The University of Melbourne (UOM) dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan dan pembangunan profesional bertaraf dunia.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kerjasama tersebut amat penting ketika Sarawak sedang melalui transformasi ekonomi besar melibatkan sektor tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), pembuatan maju dan teknologi hijau.
“Kerjasama dengan institusi antarabangsa seperti The University of Melbourne amat penting kerana universiti ini diiktiraf di peringkat global dalam bidang penyelidikan, inovasi, pendidikan perniagaan dan kepimpinan akademik.
“Menerusi kerjasama dengan MASA ini, rakyat Sarawak akan memperoleh akses lebih luas kepada pendidikan bertaraf dunia dan peluang pembangunan profesional tanpa perlu meninggalkan rantau ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis menandatangani MoU di antara MASA dan UOM di sini pada Selasa.
Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, pengenalan program Master of Business Administration (MBA) di bawah kerjasama itu diyakini mampu melahirkan pemimpin yang berupaya menangani cabaran ekonomi kompleks, mengurus organisasi secara efektif dan memacu inovasi dalam sektor awam serta swasta.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kerajaan Sarawak akan terus komited menyokong pendidikan di semua peringkat termasuk pendidikan digital, latihan teknikal dan vokasional (TVET), pendidikan tinggi serta kerjasama antarabangsa yang memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
“Kita mahu rakyat Sarawak, khususnya generasi muda, mendapat akses kepada program yang diiktiraf global bagi mempersiapkan mereka menghadapi industri masa depan dan peranan kepimpinan,” ujarnya.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Timbalan Dekan (Interim), Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Melbourne (UOM), Professor Peter Gahan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: George Embie