Pemimpin Masa Depan Perlu Kuasai AI, Adaptasi Perubahan
KUCHING: Pemimpin masa depan perlu memiliki keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan termasuk menguasai teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan organisasi terus relevan dalam landskap ekonomi baharu.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perubahan merupakan tema utama dalam kehidupan dan kini dunia sedang menyaksikan perubahan besar dipacu teknologi serta AI.
Menurut beliau, walaupun AI mampu mempercepatkan proses mendapatkan penyelesaian, peranan kecerdasan manusia masih kekal penting dalam menentukan input dan hala tuju sesuatu keputusan.
“Biasanya apabila memasuki kelas MBA, antara perkara pertama yang dipelajari ialah bagaimana mengurus perubahan dan ini merupakan subjek yang sangat mendalam bagi seseorang pemimpin.
“Sepanjang kehidupan kita, tema yang sentiasa wujud ialah perubahan. Hari ini perubahan berlaku dalam teknologi dan kita berada dalam era AI di mana penyelesaian boleh diperoleh hanya di hujung jari,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Institut Pengurusan Sarawak (MASA) dan The University of Melbourne (UOM) di sini pada Selasa.
Bagaimanapun katanya, AI hanya berfungsi sebagai alat untuk mempercepatkan penyelesaian, manakala kecerdasan manusia tetap menjadi elemen utama dalam membuat pertimbangan dan ramalan masa depan.
“Jika anda seorang pengurus pada masa kini, anda perlu memahami AI dan mampu meramal apa yang akan berlaku pada masa depan,”ujarnya.
Tambah beliau, pemimpin dan pengurus masa depan perlu kreatif serta inovatif dalam mengendalikan organisasi dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku secara berterusan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: George Embie