KCF 2026 Perkukuh Promosi Budaya Dan Pelancongan Kapit
KAPIT: Kapit Cultural Festival (KCF) 2026 dijangka menjadi platform penting dalam memperkukuh promosi budaya dan pelancongan Bahagian Kapit menerusi penglibatan pelbagai kaum, pengisian budaya serta penyertaan lebih 10,000 pengunjung sepanjang festival berlangsung.
Festival yang memasuki edisi keempat itu dijenamakan semula daripada Kapit Dayak Cultural Festival kepada Kapit Cultural Festival bagi menampilkan pendekatan lebih inklusif serta mencerminkan kepelbagaian budaya dan etnik di Bahagian Kapit.
Pegawai Daerah Kapit merangkap penganjur KCF 2026, Thomas Geoffrey Kandawang berkata, penjenamaan semula festival tersebut bertujuan memperkukuh usaha memperkenalkan serta memartabatkan kebudayaan masyarakat tempatan ke peringkat Sarawak, nasional dan antarabangsa.
Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran KCF 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Aras 2, Kompleks Kerajaan Negeri Kapit, pada Selasa.
Menurut beliau, antara pengisian utama festival ialah acara Niti Daun KCF 2026 yang setakat ini menerima penyertaan daripada 25 kontinjen melibatkan pelbagai kaum dan etnik termasuk Iban, Melayu, Cina serta komuniti minoriti lain di Bahagian Kapit.
Selain itu, pertandingan Kumang dan Keling Gawai Iban KCF 2026 anjuran Persatuan Dayak Sarawak (PESAKA) Cawangan Kapit turut menjadi antara acara utama bagi memilih wakil Bahagian Kapit ke pertandingan peringkat Sarawak di Miri.
“KCF bukan sahaja menampilkan warisan budaya masyarakat Kapit, malah menjadi platform memperkukuh perpaduan serta keterangkuman komuniti pelbagai kaum dan generasi,” katanya.
Sebanyak 11 acara utama telah disusun sepanjang festival tersebut antaranya pertandingan Beramban, Berbantun, Kocor-Kocor Etnik Kreatif, Ngajat Individu, Gepang Anak Mit serta Battle of the Band.
Majlis perasmian KCF 2026 pada 17 Mei nanti dijadual disempurnakan Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Festival tersebut turut memberi penekanan terhadap penglibatan semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, belia, wanita dan komuniti setempat melalui pelbagai aktiviti kebudayaan dan kreatif.
Dalam masa sama, penganjuran KCF 2026 dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga dan usahawan tempatan menerusi jualan makanan tradisional, kraftangan serta produk etnik sepanjang festival berlangsung.
KCF 2026 turut menerima geran RM100,000 daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) selain sokongan logistik daripada wakil rakyat setempat bagi memastikan kelancaran penganjuran festival tersebut.-EDISI UKAS