Pewartaan Tujuh Kawasan Penanaman Padi Disifatkan Langkah Strategik
KUCHING: Pewartaan tujuh kawasan tanah kerajaan sebagai kawasan pembangunan penanaman padi secara menyeluruh disifatkan sebagai langkah strategik dalam usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, usaha tersebut wajar diperluas dengan memasukkan lebih banyak kawasan berpotensi dalam pelan pembangunan masa depan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran beras negeri.
Menurut beliau, kawasan Kampung Kaba dan Sungai Nyiar di Roban dalam DUN Kalaka dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai kawasan pengeluaran padi moden berteknologi tinggi.
“Di Kampung Kaba sahaja terdapat lebih 30 hektar kawasan yang bakal menjadi perintis projek pengeluaran padi berskala besar dengan penggunaan teknologi moden.
“Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah memperuntukkan RM4.8 juta bagi menyokong pembangunan ini termasuk pembinaan kilang pemprosesan beras, sistem pengairan dan kemudahan utiliti,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambah beliau, pembangunan tersebut menyasarkan peningkatan hasil tuaian sehingga lima kali dalam tempoh dua tahun sekali gus berpotensi menjadi model jelapang padi moden di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak amat penting sebagai mekanisme utama untuk merancang, menyelaras serta memperkukuh pembangunan industri padi negeri secara menyeluruh melibatkan aspek dasar, pelaksanaan dan pemantauan.
Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan tahap sara diri (SSR) beras negara yang ketika ini dianggarkan sekitar 53 peratus, sekali gus menunjukkan keperluan mendesak untuk memperluas kawasan penanaman padi di Sarawak.
Selain itu, beliau turut menggesa penggunaan teknologi moden seperti dron pertanian, sistem pengairan pintar, Internet of Things (IoT) dan automasi diperkasa bagi meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi sektor pertanian.
Tegasnya, pelaksanaan perancangan yang konsisten dan berkesan mampu menjadikan Sarawak bukan sahaja mencapai tahap sara diri beras, malah berpotensi muncul sebagai hab pengeluaran beras moden utama di rantau ini. -EDISI UKAS