Pertahan Perpaduan, Kestabilan Sarawak Demi Masa Depan Generasi Akan Datang
BINTULU: Rakyat Sarawak diseru agar terus mempertahankan perpaduan dan kestabilan negeri demi memastikan pembangunan serta kemajuan dapat diteruskan untuk generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, kekuatan Sarawak hari ini lahir daripada semangat kebersamaan rakyat pelbagai kaum dan agama yang sentiasa diamalkan dalam kehidupan masyarakat negeri ini.
Menurut beliau, Sarawak kini semakin dikenali sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara menerusi pembangunan tenaga hijau, ekonomi digital, pelabuhan, pendidikan dan sektor kesihatan.
“Kejayaan ini tidak berlaku secara kebetulan. Ia adalah hasil daripada kepimpinan yang berwawasan, dasar pembangunan yang pragmatik, dan yang paling penting rakyat Sarawak memahami nilai perpaduan dan kestabilan.
“Walaupun dunia hari ini berhadapan dengan perpecahan, politik ekstrem dan konflik perkauman, Sarawak masih mampu mengekalkan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra Gawai Seksyen Bumiputera Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu di Restoran Dinnerworld, Bintulu pada Jumaat.
Johnny berkata, rakyat perlu menolak politik kebencian dan perpecahan, serta terus menyokong agenda pembangunan yang membawa peluang pekerjaan, pendidikan lebih baik serta masa depan lebih cerah untuk generasi muda.
Tambah beliau, peranan akar umbi juga amat penting dalam memastikan suara rakyat terus didengari selain membantu menyampaikan dasar kerajaan kepada masyarakat.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Residen Bahagian Bintulu Datu Nyurak Keti serta Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Angellie Stephen Raja.-EDISI UKAS