Sarawak Perkukuh Mitigasi Banjir Dengan 45 Projek Baharu RMK-13
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kesiapsiagaan negeri menghadapi risiko banjir menerusi pelaksanaan 45 projek tebatan banjir dan saliran bandar bernilai RM265.29 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, peruntukan tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasakan infrastruktur mitigasi banjir secara lebih menyeluruh dan mampan.
Menurut beliau, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak akan memberi keutamaan kepada pelaksanaan projek berimpak tinggi bagi memastikan kesinambungan pembangunan infrastruktur pengurusan air dan saliran bandar di seluruh negeri.
“Kerajaan Sarawak komited memperkukuh kesiapsiagaan, kebolehsuaian dan daya tahan negeri menerusi pelaksanaan projek pengurusan sumber air, saliran bandar dan mitigasi banjir secara bersepadu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan kementeriannya semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Datuk Amar Dr Sim menambah, daripada keseluruhan projek yang diluluskan di bawah RMK-13, sebanyak 15 projek kini berada dalam fasa pembinaan manakala 30 projek lagi di peringkat reka bentuk dan persediaan perolehan.
Katanya, pendekatan bersepadu itu penting bagi mengurangkan risiko banjir, melindungi komuniti setempat serta memastikan pembangunan negeri terus berjalan secara mampan selaras agenda pembangunan jangka panjang Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata di bawah RMK-12, DID Sarawak menerima peruntukan RM97.35 juta bagi melaksanakan 24 projek tebatan banjir dan saliran bandar di seluruh negeri.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, tiga projek telah siap sepenuhnya, satu projek sedang dalam pembinaan manakala 20 projek lagi berada di pelbagai peringkat reka bentuk sebelum pelaksanaan fizikal dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2026. -EDISI UKAS