'New Growth Centre' Nanga Budu Bakal Jadi Pemangkin Pembangunan Baharu Saratok
SARATOK: Pembangunan New Growth Centre (NGC) di Daerah Kecil Nanga Budu dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan baharu di kawasan luar bandar di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik berkata, projek pembangunan ini merupakan usaha kerajaan untuk menaik taraf kawasan tersebut.
“Projek ini adalah usaha menaik taraf Nanga Budu sebagai sub-daerah Saratok seperti daerah kecil lain iaitu Debak dan Spaoh,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah bagi Projek New Growth Centre di Dewan Pejabat Daerah Saratok pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta bagi pembinaan Dewan Masyarakat Nanga Budu yang bakal menjadi pusat aktiviti komuniti dan program kemasyarakatan.
Selain itu katanya, pembangunan Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu serta penyediaan perumahan kerajaan akan membantu memudahkan urusan penjawat awam selain meningkatkan kapasiti dan jumlah kakitangan yang berkhidmat di kawasan tersebut.
Sehubungan itu, Friday menyeru penduduk setempat agar bersama-sama menyokong pembangunan ekonomi kawasan berkenaan dengan mengambil peluang menyewa lot-lot kedai yang bakal dibangunkan bagi merancakkan aktiviti perniagaan dan perdagangan di Nanga Budu.
Terdahulu, seramai 28 penerima menerima cek pampasan tanah berjumlah RM2.13 juta melibatkan 31 lot tanah yang terlibat dalam pelaksanaan projek New Growth Centre tersebut. -EDISI UKAS