SARIKEI: Usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial rakyat diteruskan menerusi penyaluran bantuan kewangan kepada golongan miskin melalui Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Kebajikan Tahun 2026.
Menerusi pelaksanaan program tersebut, seramai 250 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar dalam sistem eKasih menerima bantuan berbentuk baucar tunai bernilai RM500 yang melibatkan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM125,000.
Pegawai Pembangunan Zon, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Sri Aman), Radiah Muhamed @ Muhamad berkata, inisiatif berkenaan bertujuan membantu penerima memenuhi keperluan harian di samping mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin mencabar.
“Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat yang memerlukan menerusi pelbagai program bantuan yang disalurkan secara bersasar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Program Penyerahan Bantuan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) Skop Kebajikan Tahun 2026 yang berlangsung di perkarangan tempat letak kereta pusat beli belah, di sini, pada Selasa.
Menurut beliau, pendekatan tersebut selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial serta pembangunan inklusif yang dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Tambahnya, bantuan yang disalurkan bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan, bahkan menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat serta mengurangkan kadar kemiskinan melalui pendekatan yang lebih sistematik dan berkesan.
Dalam pada itu, seramai 50 penerima yang terdiri daripada penduduk daerah Sarikei, Meradong, Kabong dan Saratok menerima bantuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM25,000.
Pada majlis sama, turut dilaksanakan inisiatif kebajikan tambahan menerusi penyerahan pelbagai peralatan kesihatan kepada penerima eKasih yang terlantar serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Radiah turut berkata, seramai 13 KIR dari daerah Sarikei, Meradong dan Saratok menerima bantuan peralatan kesihatan bernilai keseluruhan RM50,000 bagi menyokong keperluan penjagaan harian mereka.
“Antara peralatan yang disalurkan ialah mesin sedutan kahak, kerusi roda, lampin pakai buang dan tiub makanan yang dapat membantu meningkatkan keselesaan penerima serta memudahkan urusan penjagaan oleh ahli keluarga dan penjaga,” ujarnya.
Turut hadir ialah Ketua Seksyen Kesejahteraan Rakyat, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Hafizuldin Mahmud, wakil Residen Bahagian Sarikei, Azryn Naim Zolkefli, wakil Pegawai Daerah Sarikei, Ainur Yazmin Zaini, wakil Pegawai Daerah Meradong, Ting Kai Siang, Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee, serta wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Sarikei, Haifa Hannani Kadir. -EDISI UKAS