Kaunter Perkhidmatan MBM Permudah Urusan Rakyat Sempena Miri MayFest 2026
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) terus memperkukuh pendekatan mesra rakyat menerusi perasmian Kaunter Perkhidmatan MBM sempena Karnival Miri MayFest 2026 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-21 Bandaraya Miri yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei 2026 dengan pelbagai aktiviti serta perkhidmatan disediakan kepada orang ramai sepanjang tempoh penganjuran.
Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad berkata, penyediaan kaunter perkhidmatan berpusat itu merupakan satu inisiatif penting bagi memudahkan urusan rakyat khususnya warga bandaraya Miri.
Menurut beliau, pendekatan tersebut bukan sahaja membantu meningkatkan imej penyampaian perkhidmatan kerajaan, malah memberi kemudahan kepada masyarakat yang mempunyai kekangan pergerakan kerana segala urusan boleh dilakukan di satu lokasi tanpa perlu bergerak ke beberapa kaunter berasingan.
“Usaha seperti ini diharap dapat diperluaskan ke lokasi lain dalam pentadbiran MBM supaya rakyat terus menikmati perkhidmatan yang cepat, mudah dan selesa,” katanya semasa Majlis Perasmian Kaunter Perkhidmatan MBM sempena Karnival Miri MayFest 2026 dan Sambutan Ulang Tahun Ke-21 Bandaraya Miri pada Rabu.
Dalam pada itu, Ariffin menegaskan hubungan erat antara komuniti dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat penting dalam memastikan pembangunan bandaraya dapat dilaksanakan secara mampan.
Katanya, masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang memahami fungsi sebenar PBT dan hanya mengaitkannya dengan kerja kutipan sampah serta pemotongan rumput semata-mata.
Menurut beliau, PBT sebenarnya memainkan peranan besar dalam memastikan pembangunan sosioekonomi sesebuah kawasan dapat dilaksanakan dengan baik selaras objektif Kerajaan Sarawak.
Beliau turut mengakui terdapat persepsi negatif terhadap PBT termasuk isu kurang responsif dan kurang cekap, namun menegaskan jasa serta sumbangan PBT perlu terus diketengahkan supaya momentum penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dipertingkatkan.
Dalam pada itu, beliau berharap setiap program dan inisiatif yang dilaksanakan oleh PBT dapat diperluaskan melalui pelbagai platform agar lebih mudah diakses rakyat sekali gus membantu meningkatkan imej dan reputasi pihak berkuasa tempatan.
Beliau turut mengingatkan kepentingan amalan tadbir urus baik seperti ketelusan, akauntabiliti, responsif dan penyertaan awam bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PBT termasuk dalam aspek pembayaran cukai taksiran atau cukai pintu.
Menurutnya, kaunter bayaran cukai taksiran pada karnival tersebut turut menyediakan hadiah menarik kepada pembayar yang menjelaskan bayaran setahun penuh tanpa tunggakan.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Miri MayFest 2026, Kr. Sean Huang, Pengerusi Jawatankuasa SDG, Kr. Jamil Bujang serta Timbalan Setiausaha Bandaraya MBM, Petrick Linggie Taboh.- EDISI UKAS