953 Penerima Bantuan Kebajikan Samarahan Terima Sumbangan Sempena Gawai
ASAJAYA: Seramai 953 penerima bantuan kebajikan di Bahagian Samarahan menerima sumbangan sempena sambutan Hari Gawai menerusi peruntukan keseluruhan berjumlah RM95,300.
Program tahunan Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2026 itu dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan.
Majlis perasmian program tersebut disempurnakan oleh Timbalan Residen Bahagian Samarahan, Encik Rais Ahmat di Dewan Tan Sri Ikhwan Zaini, Pejabat Daerah Asajaya pada Khamis.
Menurut beliau, program kebajikan seumpama itu amat penting bagi memastikan golongan memerlukan terus diberikan perhatian dan sokongan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut Hari Gawai.
“Program ini mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
“Semangat kebersamaan dan perpaduan yang dizahirkan melalui program seperti ini amat bertepatan dengan semangat perayaan Gawai yang menekankan kesyukuran, kebersamaan dan perpaduan komuniti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sejambak Kasih Hari Gawai 2026 di sini.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan seramai 150 penerima telah dijemput hadir ke majlis berkenaan.
Setiap penerima yang hadir menerima sumbangan wang tunai berjumlah RM100 serta hamper bernilai RM80.
Bagi penerima bantuan yang tidak dapat hadir, sumbangan wang tunai RM100 akan dikreditkan terus ke akaun masing-masing.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan beban kewangan penerima sekali gus menceriakan sambutan Hari Gawai bersama keluarga tersayang.
Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Puan Hajjah Norhayati Haji Abdul Rahman, Pegawai Daerah Asajaya, Tuan Jerry Zannudin Bidin, Timbalan Pengarah Persekutuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Encik Mohd Ali Taib, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Samarahan, Puan Aziah Saruji, Pegawai RELA Daerah Asajaya, Puan Faizzikhah Abu Bakar, Temenggong Bahagian Samarahan, Temenggong Haji Chek Haji Bujang serta barisan ketua jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) setempat.-EDISI UKAS