Miri Mayfest Carnival 2026 Perkukuh Perpaduan, Rancakkan Ekonomi Setempat
MIRI: Pelancaran Miri Mayfest Carnival 2026 mengangkat kemeriahan sambutan ulang tahun ke-21 bandar raya ini sebagai platform menyatukan masyarakat pelbagai kaum selain merancakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan setempat
Majlis pelancaran yang berlangsung di Aras 1, Bangunan Dewan Bandaraya Miri pada Rabu disempurnakan oleh Datuk Bandar Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai oleh Sean Huang Hong Siong serta semua pihak yang terlibat atas komitmen menjayakan penganjuran karnival tersebut.
“Sepanjang 21 tahun pembangunan, Miri terus berkembang sebagai bandar raya yang dinamik, vibran dan berbilang kaum hasil kerjasama erat masyarakat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa penganjuran Miri Mayfest bukan sahaja menghimpunkan komuniti melalui pelbagai aktiviti kebudayaan, sukan dan hiburan, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan tanpa mengira latar belakang.
Mengulas lanjut, beliau menggalakkan orang ramai agar mengambil peluang menyertai pelbagai program yang disediakan sepanjang sambutan berlangsung selain menyokong bakat tempatan dan aktiviti ekonomi komuniti.
Menurutnya, penganjuran karnival itu dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan, penglibatan belia serta kesejahteraan komuniti, sekali gus memperkukuh imej Miri sebagai bandar raya yang progresif dan mesra dikunjungi.
Sambutan Miri Mayfest 2026 berlangsung dari 20 hingga 24 Mei ini di Bangunan Majlis Bandaraya Miri dengan pelbagai pengisian termasuk program interaktif, pameran, jualan, persembahan kebudayaan serta hiburan pentas, yang ditawarkan secara percuma kepada orang ramai.
Turut hadir Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri Ariffin Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa SDG Jamil Bujang serta Setiausaha Bandaraya Abdul Rahman Taupek.-EDISI UKAS