RWMF Platform Strategik Angkat Identiti Sarawak ke Pentas Global
KUCHING: Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) terus memperkukuh kedudukannya sebagai platform pelancongan dan budaya bertaraf antarabangsa yang membawa identiti Sarawak ke pentas global.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, RWMF kini bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya telah berkembang menjadi wadah strategik memperkenalkan budaya, muzik dan warisan Sarawak kepada dunia.
“Selama hampir tiga dekad, RWMF membuktikan bahawa budaya tidak statik, sebaliknya terus berkembang merentasi generasi tanpa mengorbankan keaslian asalnya,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menterinya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew pada majlis apresiasi RWMF di Kuching, pada Khamis.
Beliau menegaskan, tema festival yang mengangkat elemen budaya dan ritma mencerminkan keseimbangan antara pemeliharaan warisan serta inovasi kreatif, sekali gus memperkukuh identiti destinasi Sarawak sebagai unik dan autentik.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran RWMF tidak dapat dipisahkan daripada sokongan padu penaja dan rakan strategik yang terus mempercayai potensi Sarawak sebagai destinasi pelancongan berdaya saing.
“Penajaan bukan sekadar sokongan kewangan, tetapi satu bentuk kepercayaan terhadap kekuatan RWMF, nilai pelancongan dan masa depan Sarawak dalam industri pelancongan global,” jelasnya.
Tambah beliau, festival berimpak tinggi seperti RWMF memainkan peranan penting dalam merangsang ekonomi tempatan melalui sektor hospitaliti, penerbangan, makanan dan minuman serta industri kreatif.
Dalam masa sama, ia turut menggalakkan pelawat untuk tinggal lebih lama, meneroka lebih banyak destinasi dan seterusnya memperkukuh kedudukan Sarawak dalam peta pelancongan dunia.
“Melalui RWMF, dunia bukan sahaja mendengar muzik, tetapi turut mengenali Sarawak – tradisi, masyarakat dan semangatnya,” ujarnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan pelancongan yang mampan dengan memastikan keseimbangan antara pemeliharaan alam sekitar, perlindungan budaya serta kesejahteraan komuniti tempatan.
Majlis tersebut turut menghargai penaja utama termasuk Malaysia Aviation Group, Malaysia Airlines dan Firefly selain rakan media dan strategik yang menyokong penganjuran RWMF 2026.
Mengakhiri ucapan, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terus komited memperkukuh jenama Sarawak di persada antarabangsa melalui platform pelancongan berimpak tinggi.-EDISI UKAS