FWTA Dilaksana Telus, Perkukuh Tadbir Urus Tenaga Kerja Sarawak
MIRI: Pelaksanaan inisiatif Foreign Worker Transformation Approach (FWTA) terus diperkasa sebagai langkah strategik Kerajaan Sarawak dalam memastikan pengurusan pekerja asing dilaksanakan secara telus, sistematik dan berintegriti, sekali gus melindungi kepentingan rakyat negeri ini.
Inisiatif tersebut bukan sahaja memperkukuh kecekapan ekosistem tenaga kerja, malah berperanan menangani isu pekerja asing tanpa izin melalui pendekatan pengurusan yang lebih tersusun dan bersepadu.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala menegaskan bahawa pelaksanaan FWTA dibuat mengikut prosedur perundangan, pentadbiran dan kewangan yang ditetapkan serta telah mendapat kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
Menurut beliau, pelaksanaan itu turut tertakluk kepada semakan berkala, audit dan pemantauan badan berwibawa bagi memastikan tahap pematuhan, akauntabiliti serta nilai untuk wang sentiasa terpelihara.
Beliau berkata demikian semasa mengulas kenyataan ADUN Pending berhubung pelaksanaan dan struktur kewangan FWTA yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 baru-baru ini.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa FWTA dilaksanakan menerusi model Kerjasama Awam-Swasta (PPP), dengan keseluruhan kos pembangunan dan operasi dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta tanpa melibatkan peruntukan kerajaan.
“Yuran RM1,854 yang diluluskan digunakan sepenuhnya bagi tujuan operasi, penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem dan kerajaan tidak menerima sebarang bahagian daripada bayaran tersebut,” jelasnya.
Tambah beliau, hasil yang dijana melalui platform itu dilaburkan semula untuk pembangunan infrastruktur dan infostruktur kritikal termasuk Pusat Bersepadu Imigresen dan Buruh, platform digital berpusat, peningkatan keselamatan siber serta pembangunan modal insan.
Berhubung angka 106,242 kelulusan yang dikaitkan dengan kutipan hampir RM200 juta, beliau menjelaskan bahawa sebanyak 36,672 kelulusan AP direkodkan pada tahun 2025, dengan 35,336 daripadanya diteruskan kepada pembayaran.
“Sebanyak 69,570 permohonan pula diproses secara manual sebelum pelaksanaan FWTA dan tidak tertakluk kepada yuran tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa FWTA Sdn. Bhd. dilantik secara sah sebagai subkontraktor oleh penyedia perkhidmatan, dengan pelantikan tersebut dibuat mengikut prosedur perolehan serta tertakluk kepada audit dan pemantauan pihak berkuasa.
Beliau turut mengingatkan agar isu pentadbiran yang melibatkan kepentingan negeri tidak dipolitikkan, sebaliknya dibincangkan secara bertanggungjawab berasaskan fakta yang sahih.
Kerajaan katanya, kekal komited terhadap prinsip ketelusan dan tadbir urus baik, namun sebarang pendedahan berkaitan kontrak atau urusan komersial adalah tertakluk kepada undang-undang serta kewajipan kerahsiaan.-EDISI UKAS