Integriti Melangkaui Soal Wang Ringgit, Libatkan Nilai & Tanggungjawab
KUCHING: Isu integriti tidak seharusnya dilihat hanya dalam konteks penyelewengan wang ringgit atau rasuah semata-mata, sebaliknya merangkumi aspek yang lebih luas termasuk amanah, tatakelola, disiplin serta tanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan kuasa yang diamanahkan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, penubuhan Ombudsman Sarawak membuktikan kerajaan negeri ini mengamalkan nilai integriti sehingga ke peringkat akar umbi, khususnya dalam menjaga kebajikan rakyatnya.
“Apabila sesebuah kerajaan mempunyai integriti, kerajaan itu mampu menjaga kebajikan rakyat termasuk menyediakan pendidikan percuma, membantu keperluan kehidupan serta memastikan penjagaan kesihatan ketika rakyat meningkat usia.
“Rakyat tidak perlu hidup dalam kebimbangan memikirkan siapa yang akan membiayai pendidikan anak-anak atau menjaga mereka pada masa hadapan.
“Inilah yang ingin dibentuk menerusi Sarawak baharu iaitu sebuah masyarakat yang hidup dengan lebih tenang, terjamin dan sejahtera,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Jelajah Integriti Sarawak Siri 46, Bilangan 3 di Kuching pada Khamis.
Tambah beliau lagi, pembudayaan integriti perlu diterapkan sehingga ke peringkat akar umbi supaya ia berkembang menjadi budaya hidup dan tanggungjawab bersama masyarakat.
Katanya, sikap bertoleransi terhadap kesalahan kecil atau salah laku yang dianggap remeh boleh menjadi amalan negatif sekiranya dibiarkan berterusan tanpa teguran.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya dalam majlis sama menegaskan, pembangunan yang dibawa oleh kerajaan negeri haruslah mempunyai integriti, mengikut undang-undang yang ada.
“Ini merupakan Kerajaan Sarawak yang ada pada hari ini. Sebab itu apabila kita bercakap mengenai soal integriti, ia bukan sekadar memastikan pembangunan dapat dilaksanakan, tetapi memastikan setiap pembangunan dibawa dengan cara yang betul, telus serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Dato Ir Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap Yaw Sin, Pengarah Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) Wan Mohamad Wan Drahman, Timbalan Ketua Ombudsman Sarawak Alexander Unya Ambon serta yang lain. -EDISI UKAS