Pertandingan Poco-Poco Meriahkan Kapit Cultural Festival 2026
KAPIT: Pertandingan Poco-Poco yang diadakan di Kapit Town Square berlangsung meriah sekali gus menjadi antara tarikan utama sempena Kapit Cultural Festival (KCF) 2026.
Pengerusi Majlis Daerah Kapit, Ir. Andy Lawrence berkata festival seperti KCF bukan sahaja menyediakan platform hiburan dan riadah kepada masyarakat, malah memainkan peranan penting dalam memelihara dan mengetengahkan warisan budaya masyarakat pelbagai kaum di daerah ini.
Menurut beliau, kejayaan penganjuran festival tersebut membuktikan semangat perpaduan dan kerjasama erat antara pelbagai pihak termasuk jawatankuasa penganjur, agensi kerajaan, peserta, sukarelawan dan komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertandingan Poco-Poco sempena Kapit Cultural Festival 2026 pada Rabu.
Tambah beliau, festival berkenaan turut menjadi medium memperkenalkan keunikan adat resam, seni budaya serta makanan tradisional tempatan kepada pengunjung dari dalam dan luar kawasan, sekali gus membantu merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi setempat.
Program anjuran Pejabat Daerah Kapit itu dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat diikuti jamuan makan sebelum diteruskan dengan pertandingan poco-poco yang menampilkan persembahan kreatif dan penuh bertenaga daripada setiap kumpulan peserta.
Sepanjang pertandingan berlangsung, para peserta memperlihatkan semangat berpasukan yang tinggi dan berjaya menceriakan suasana menerusi persembahan yang menghiburkan.
Turut hadir Pegawai Daerah Kapit, Thomas Geofrey, Timbalan Walikota Kapit, Cr. Martin Bilun, Pemanca Abang Hamzah Boldhassan dan Pemanca Wong Kie Ing.- EDISI UKAS