BETONG: Angline Johnatan berjaya dinobatkan sebagai Kumang Pekit Kumang Betong 2026 pada pertandingan yang berlangsung sempena Majlis Malam Pra Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong Tahun 2026 di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan pada Sabtu.
Peserta berusia 25 tahun yang bekerja sebagai perunding jualan itu berjaya menewaskan tujuh finalis lain sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta mahkota, sash, jambangan bunga dan sijil.
Tempat kedua menerusi gelaran Lulong dimenangi Clarissa Rinya Setian, 22, pelajar universiti berasal dari Roban, Saratok yang menerima hadiah wang tunai RM8,000 berserta sash, jambangan bunga dan sijil.
Clarissa turut merangkul Anugerah Ngepan Terbaik yang membawa hadiah wang tunai RM2,000.
Sementara itu, tempat ketiga menerusi gelaran Selinggar Matahari menjadi milik Mary Puspa, 30, seorang pramugari yang sedang melanjutkan pengajian Sarjana di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 berserta sash, jambangan bunga dan sijil selain turut memenangi Anugerah Video Terbaik bernilai RM500.
Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Datin Rosemarie Wong yang merupakan isteri kepada Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu. -EDISI UKAS