Ibadah Korban Semarak Semangat Kebersamaan Masyarakat Mukah
MUKAH: Semangat muafakat dan kebersamaan masyarakat terus disemarakkan menerusi pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha 1447 Hijrah apabila Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib bersama keluarga menyumbangkan sembilan ekor lembu bagi tujuan korban di kawasan Parlimen Mukah.
Program ibadah korban itu dilaksanakan secara berperingkat selama tiga hari bermula pada Hari Raya Aidiladha pertama dengan penyembelihan lima ekor lembu, diikuti dua ekor lembu pada hari kedua dan dua ekor lagi pada hari ketiga.
Majlis berkenaan turut menerima sumbangan tambahan dua ekor lembu daripada 99 Speed Mart cawangan Mukah, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan lembu yang dikorbankan sebanyak 11 ekor.
Daging korban kemudiannya diagihkan kepada penduduk serta institusi di sekitar kawasan Parlimen Mukah antaranya Masjid Al-Muslihin, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Kut Muara Dalat, JKKK Kampung Senau Oya, Masjid Jamek Mukah, Jawatankuasa Tetap Agama Islam Mukah (JKTAIM), Hospital Mukah, Surau Darul Makmur, Masjid Darul Takwa Balingian serta beberapa lagi kampung dan agensi kerajaan di Bahagian Mukah.
Pelaksanaan program tersebut turut mendapat kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan, jawatankuasa pengurusan masjid dan surau serta penduduk kampung yang berganding bahu menjayakan urusan penyembelihan, melapah dan pengagihan daging korban.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja menyemarakkan sambutan Aidiladha, malah berjaya mengeratkan hubungan silaturrahim serta memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat setempat.-EDISI UKAS