18 Pintu Rumah Panjang PPRT Rantau Kiran Siap Sepenuhnya
LIMBANG: Keprihatinan kerajaan dalam membela nasib rakyat yang ditimpa musibah terus dizahirkan menerusi penyiapan projek Rumah Panjang Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Rantau Kiran yang memberi sinar baharu kepada 18 keluarga mangsa kebakaran 2023.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang, Datuk Hasbi Habibollah berkata, kejayaan menyiapkan projek tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara.
“Kita bersyukur kerana pembinaan Rumah Panjang PPRT Rantau Kiran telah siap sepenuhnya dan ini merupakan usaha kerajaan membantu rakyat yang ditimpa musibah kebakaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Rumah Panjang PPRT Rantau Kiran di Dewan Kampung Rantau Kiran, pada Selasa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang turut menyatakan penghargaan terhadap pelaksanaan projek tersebut yang memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
Dalam majlis sama, beliau turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) khas kepada 13 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Medamit sebagai usaha memperkasakan pembangunan komuniti.
Projek pembinaan rumah panjang berkenaan dilaksanakan menerusi peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan kos keseluruhan sekitar RM1.4 juta.
Majlis turut diserikan dengan simbolik penyerahan rumah panjang kepada penerima, disusuli lawatan ke tapak rumah panjang baharu serta sesi ramah mesra bersama penduduk.
Hadir sama, Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise, Penolong Pegawai Daerah Limbang Mariati Samat, wakil Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah Negeri Sarawak Kristine Enya Belaja dan Tuai Rumah Bujang Kampung Rantau Kiran Bujang Minggan. -EDISI UKAS