USK Sg Asap/Koyan Raikan Aidiladha, Perkukuh Perpaduan Masyarakat Di Belaga
BELAGA: Sambutan Hari Raya Aidiladha 2026 anjuran Urusetia Saudara Baru Kita (USK) Cawangan Sungai Asap/Koyan berlangsung meriah di Masjid Al-Fattah, Sungai Asap, dengan penyertaan kira-kira 100 orang melibatkan masyarakat setempat serta ahli USK.
Program ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kennedy Chukpai Ugon di mana aktiviti gotong-royong ibadah korban melibatkan penyembelihan seekor lembu telah dilaksanakan bersama ahli masjid.
Kennedy dalam pada itu turut menyantuni para jemaah serta menyampaikan agihan daging korban kepada 22 penerima dalam kalangan ahli USK dan masyarakat yang hadir, sekali gus menceriakan suasana sambutan Aidiladha tahun ini.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan Geran Bantuan berjumlah RM20,000 kepada USK Cawangan Sungai Asap/Koyan serta RM5,000 kepada USK Cawangan Belaga bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program komuniti akan datang.
Berucap ringkas, Kennedy dalam ucapannya berkata, sambutan Aidiladha bukan sahaja memperkukuh amalan ibadah, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan perpaduan dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di kawasan luar bandar.
“Semoga sambutan ini terus menjadi medium memperkukuh ukhuwah serta semangat saling membantu dalam komuniti,” katanya. -EDISI UKAS