32 Asnaf Kampung Sambir, Tambirat Terima Agihan Daging Korban
ASAJAYA: Seramai 32 orang asnaf dari Kampung Sambir dan Kampung Tambirat menerima agihan daging korban menerusi Program Ibadah Korban anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kedua-dua kampung di sini pada Rabu.
Program sempena Aidiladha itu dilaksanakan sebagai usaha membantu golongan memerlukan di samping memperkukuh nilai keagamaan dan semangat kebersamaan dalam komuniti setempat.
Lembu korban bagi program berkenaan telah disumbangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya sebagai sokongan terhadap pelaksanaan aktiviti keagamaan di peringkat komuniti.
Selain asnaf, tujuh peserta korban turut menerima agihan masing-masing selepas proses penyembelihan dan pengagihan selesai dilaksanakan.
Penglibatan komuniti dalam menjayakan program itu turut melibatkan 11 ahli JKKK Kampung Sambir dan tiga ahli JKKK Kampung Tambirat yang bergotong-royong membantu melancarkan keseluruhan program.
Secara keseluruhan, sebanyak 53.7 kilogram daging korban telah diagihkan kepada semua penerima termasuk asnaf, peserta korban, ahli jawatankuasa dan pekerja yang terlibat.
Program tersebut berjalan lancar hasil kerjasama semua pihak sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan keprihatinan masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan.-EDISI UKAS