Program Korban Di Meradong Semarak Semangat Prihatin Dan Kebersamaan
BINTANGOR: Semangat prihatin dan kebersamaan terus disemarakkan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 2026 menerusi pelaksanaan program korban melibatkan beberapa kampung dan masjid di kawasan Meradong.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, Aidiladha bukan sekadar sambutan keagamaan, malah membawa pengertian mendalam berkaitan nilai keikhlasan, kesyukuran dan ukhuwah yang perlu terus diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat.
Beliau berkata, semangat perpaduan dan hubungan erat antara masyarakat akan terus menjadi pemacu kejayaan bersama dalam merealisasikan visi dan misi pembangunan negeri, khususnya di Bahagian Sarikei.
“Program seumpama ini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah mencerminkan semangat kebersamaan dan prihatin terhadap masyarakat tanpa mengira latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Korban Sempena Sambutan Hari Raya Haji 2026 anjuran MKMKK Melayu Daerah Meradong dengan kerjasama Masjid Darul Taqwa, Bintangor dan PBB N.46 Meradong di perkarangan Masjid Darul Taqwa pada Rabu.
Dato’ Sri Huang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok telah menyumbangkan tujuh ekor sapi sempena sambutan Hari Raya Aidiladha kepada beberapa kampung dan masjid di kawasan Meradong.
Sumbangan tersebut melibatkan Kampung Malaysia, Masjid Al-Muhajirin di Taman Bintang, Kampung Skim B Meradong, Masjid Darul Taqwa bagi kegunaan MKMKK Kampung Sungai Gemuan dan jabatan kerajaan serta Kampung Selemas, Bintangor.-EDISI UKAS