Pesta Ladong Bio Lepa Ajau Perkukuh Perpaduan Komuniti Kenyah
BELAGA: Penganjuran Pesta Ladong Bio Lepa Ajau 2026 terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan serta memelihara warisan budaya komuniti Kenyah di kawasan Sungai Asap, Belaga.
Pesta anjuran Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) Cawangan Sungai Asap Belaga itu melabuhkan tirainya di Dewan Uma Kulit pada Selasa.
Ahli Parlimen Baram, Dato Anyie Ngau berkata, komuniti Kenyah perlu terus memperkukuh perpaduan serta mengekalkan semangat kerjasama demi kemajuan bersama.
Menurut beliau, perpaduan merupakan antara matlamat utama penubuhan PKKS dan menjadi asas penting dalam memperkukuh kedudukan serta pembangunan komuniti Kenyah di negeri ini.
“Dengan perpaduan dan kerjasama yang kukuh, kita mampu mencapai kemajuan dan kejayaan seperti kaum-kaum lain,” katanya ketika berucap pada majlis penangguhan pesta berkenaan.
Pesta yang kini memasuki edisi ke-14 itu dianjurkan secara bergilir-gilir oleh rumah panjang komuniti Kenyah di Daerah Belaga dengan Uma Kulit Sungai Asap dipilih sebagai tuan rumah bagi penganjuran tahun ini.
Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk program motivasi, permainan tradisional, persembahan kebudayaan serta pertandingan seni budaya warisan komuniti Kenyah.
Penganjuran pesta tersebut bertujuan menzahirkan rasa kesyukuran atas hasil dan rezeki yang diperoleh sepanjang tahun, selain menjadi platform memartabatkan seni budaya, adat resam dan identiti etnik Orang Ulu khususnya komuniti Kenyah agar terus dipelihara dan diwarisi generasi muda.
Majlis penangguhan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan seperti Muzik Tradisional Tebengang Lung Lebu’ Kulit, Tarian Perpaduan serta persembahan juara Jatun Julut selain cabutan tiket bertuah.
Acara kemuncak pada malam itu ialah Pertandingan Balan Nyanting dan Bungan Lisu yang mendapat sambutan meriah daripada pengunjung.
Sebagai simbolik penangguhan, Dato Anyie bersama tetamu kehormat telah menggulung tikar rotan sebagai tanda rasmi penutupan pesta berkenaan.
Sebelum majlis berakhir, Pemanca Tony Kulleh mengumumkan Uma Kelap, Sungai Asap sebagai tuan rumah Pesta Ladong Bio Lepa Ajau edisi ke-15 tahun hadapan.-EDISI UKAS