Dato Sri Huang Tinjau Projek RTP, Santuni Penduduk Rumah Panjang di Sarikei
SARIKEI: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii mengadakan lawatan kerja ke beberapa rumah panjang di kawasan Sungai Paoh, Simpang Selalang, Ulu Sarikei Sebangkoi dan Selalang pada Rabu.
Lawatan tersebut bertujuan meninjau pelaksanaan projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta mendengar sendiri keperluan penduduk supaya penambahbaikan dapat dilaksanakan demi keselesaan rakyat.
Dalam lawatan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok itu turut beramah mesra bersama penduduk rumah panjang serta menyampaikan bantuan Projek Pintu kepada jawatankuasa rumah panjang yang melibatkan sebanyak 150 pintu.
Dato Sri Huang berkata, pembangunan jalan raya di kawasan luar bandar sentiasa menjadi antara keutamaannya kerana kemudahan jalan yang baik amat penting demi keselesaan dan keselamatan penduduk.
Antara rumah panjang yang dilawati ialah Rumah Gundak Ahlin, Rumah Musit Merun, Rumah Sami Badi, Rumah Udol Jana, Rumah Ubok Sejang, Rumah Lemma Gudang, Rumah Mariam Jilan dan Rumah Jelum Mandaw.
Turut hadir bersama dalam sesi tersebut ialah penduduk dari rumah panjang berhampiran iaitu Rumah Tom Endek, Rumah Slat Malang, Rumah Juing Embuyang dan Rumah Rose Kiu.-EDISI UKAS