Program Ibadah Korban DUN Beting Maro Perkukuh Ukhuwah, Semangat Kebersamaan
PUSA: Program ibadah korban di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Beting Maro terus menjadi platform memperkukuhkan ukhuwah serta semangat kebersamaan masyarakat setempat sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor merakamkan penghargaan kepada Ahli Jawatankuasa (AJK) pengurusan korban yang telah berjaya melaksanakan program berkenaan dengan baik dan teratur.
Menurut beliau, sebanyak 22 ekor lembu telah disumbangkan oleh Pusat Khidmat DUN Beting Maro dan Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar untuk diagihkan di kawasan DUN Beting Maro bagi menjayakan ibadah korban tahun ini.
Katanya, pelaksanaan ibadah korban bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah menjadi medium untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT serta menzahirkan rasa syukur atas segala nikmat yang dikurniakan.
“Ibadah ini juga menghidupkan semula syiar Islam dan meneladani pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS dalam mentaati perintah Allah SWT,” katanya semasa berucap pada Program Qurban N29 Beting Maro pada Rabu.
Beliau turut menjelaskan bahawa amalan korban dalam Islam memainkan peranan penting dalam memupuk semangat pemurah, bantu-membantu dan budaya berkongsi rezeki dalam kalangan umat Islam.
Tambah beliau, umat Islam amat digalakkan melaksanakan ibadah tersebut kerana ia menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT selain mengeratkan hubungan silaturahim dalam masyarakat.
Program seumpama ini diharap dapat terus diteruskan pada masa hadapan dalam usaha memperkukuh perpaduan, menyemarakkan syiar Islam dan memupuk nilai keprihatinan dalam kalangan masyarakat setempat.