RM31,000 Dana MRP Diperuntukkan Untuk Pembangunan Komuniti Simanggang
SIMANGGANG: Sebanyak RM31,000 dana di bawah Projek Kecil Luar Bandar (MRP) telah disalurkan kepada beberapa organisasi masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM5,000 diperuntukkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Rebi, Stumbin B serta RM3,000 kepada biro wanita.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis ‘Ngiling Tikai’ di Rumah Rebi, Kampung Stumbin B di sini, pada Jumaat.
Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan cek MRP berjumlah RM23,000 kepada empat JKKK dalam kawasan DUN Simanggang iaitu JKKK Rumah Inchang dari Skirau Ai, JKKK Rumah Rebi dari Stumbin B, JKKK Rumah Able dari Stumbin dan JKKK Tawang Ili dari Tanjung Bijat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan organisasi masyarakat mempunyai sumber yang mencukupi untuk melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan komuniti.
Menyentuh mengenai program, beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan tradisi ‘ngabang’ atau kunjung-mengunjung sempena sambutan Hari Gawai Dayak sebagai medium memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Katanya, sambutan Gawai Dayak bukan sekadar perayaan tahunan, malah menjadi platform penting untuk memupuk semangat kebersamaan serta menghargai kepelbagaian budaya yang menjadi kekuatan Sarawak. -EDISI UKAS