TYT Sarawak & Isteri Selamat Kembali Dari Tanah Suci
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada petang Jumaat selepas selesai menunaikan ibadah haji di Tanah Suci Makkah Al-Mukarramah.
Ketibaan mereka disambut oleh barisan kepimpinan negeri dan kenamaan yang hadir bagi menyatakan rasa syukur atas kepulangan selamat beliau berdua setelah menunaikan rukun Islam kelima.
Antara yang hadir menyambut ketibaan ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Sarawak, Ketua-ketua jabatan kerajaan dan tetamu kenamaan lain.
Sejurus ketibaan, satu majlis ringkas diadakan yang dimulakan dengan bacaan doa selamat yang dipimpin oleh Timbalan Imam Besar Sarawak, Mohd Ihsan Haidzir sebagai tanda kesyukuran atas kelancaran perjalanan dan ibadah yang dilaksanakan di Tanah Suci.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kesempatan yang diberikan untuk menunaikan ibadah haji serta merakamkan penghargaan kepada kepimpinan negeri, pegawai kerajaan dan semua pihak yang hadir menyambut kepulangan mereka.
Dalam kesempatan tersebut, beliau berdua turut mendoakan agar Sarawak terus dilimpahi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan, selain rakyatnya sentiasa hidup dalam suasana harmoni serta mendapat keberkatan yang berpanjangan. -EDISI UKAS