Kerja Baik Pulih Paip Utama Di Batu 7 Jalan Miri-Bintulu Dilaksanakan 10 Jun, Jangka 24 Jam Gangguan Bekalan Air
MIRI: Kerja-kerja baik pulih paip utama bekalan air di Batu 7, Jalan Miri–Bintulu akan dilaksanakan pada 10 Jun ini bermula jam 5 petang, dengan gangguan dan pemulihan bekalan air dijangka mengambil masa sehingga 24 jam.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi, berkata pelaksanaan kerja tersebut merupakan langkah terancang hasil pemantauan teknikal berterusan selepas dikesan berlaku kebocoran kecil pada jajaran paip utama di kawasan berkenaan.
Katanya, gangguan bekalan air, tekanan rendah dan kelewatan pemulihan melibatkan beberapa kawasan sekitar Miri yang membabitkan jajaran paip utama 750 mm MSCL dan 1100 mm DICL.
“Kawasan paip yang bocor akan dapat dikenal pasti pada 10 Jun selepas siasatan dan penilaian teknikal selesai dijalankan.
Selepas itu, pihak teknikal akan mengesahkan sama ada kebocoran melibatkan paip bersaiz 750mm atau 1100mm,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas meninjau paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu pada Jumaat.
Antara kawasan yang dijangka terjejas bagi kerja baik pulih paip 750mm MSCL ialah Taman Jelita, Taman Tunku, Jalan Ekabang, Sungai Daing, kawasan Eastwood, Hiltop, Riam dan Taman Delight.
Manakala bagi kerja baik pulih paip 1100mm DICL ialah Krokop/Jeefoh, Jalan Bulan Sabit, Piasau, Pulau Melayu/Bayshore, Pujut, Vista Perdana, Desa Bahagia, Permyjaya/Desa Pujut, Desa Indah; Southlake, Tudan, Senadin, Lutong, Kuala Baram, Kampung Masjid, Sungai Tujoh dan Kampung Beraya.
Ujarnya, keputusan melaksanakan kerja baik pulih itu dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidiladha dan Gawai Dayak bagi mengelakkan gangguan terhadap persiapan perayaan, selain memastikan kestabilan sistem bekalan air di Miri dan kawasan sekitarnya.
“Kita telah memantau keadaan ini secara berterusan kerana terdapat tanda-tanda awal kebocoran kecil di lokasi berkenaan. Oleh itu, kerja baik pulih perlu dilaksanakan secara berjadual dan terkawal.
Kerja baik pulih dijangka mengambil masa kira-kira 12 jam untuk disiapkan, diikuti 12 jam tambahan bagi proses pemulihan dan penstabilan tekanan air di kawasan terjejas,” katanya.
Beliau menambah, keadaan tanah yang tidak stabil di kawasan jajaran projek Lebuh Raya Pan Borneo dikenal pasti antara faktor utama yang menyumbang kepada insiden kebocoran paip utama di lokasi berkenaan.
Katanya, struktur tanah lembut serta pergerakan tanah di kawasan tersebut telah memberi kesan kepada kestabilan infrastruktur paip sedia ada.
Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai diminta tidak panik susulan gangguan bekalan air yang sedang berlaku, kerana ia merupakan kerja-kerja baik pulih berjadual.
“Namun, tempoh pemulihan boleh mengambil masa lebih lama di beberapa kawasan luar bandar termasuk Beraya, Sibuti dan Bekenu bergantung kepada keadaan sistem.
Kerajaan negeri menyediakan sekurang-kurangnya 18 lori tangki air, dengan jumlah itu dijangka ditingkatkan sehingga 27 hingga 28 lori mengikut keperluan di lapangan,” katanya.
Selain itu, beberapa pusat pengambilan air sementara turut diaktifkan di lokasi strategik termasuk Loji Rawatan Air Lambir serta kawasan tumpuan sekitar Miri bagi kemudahan pengguna.
Satu pusat urusetia operasi akan diaktifkan di Loji Rawatan Air Lambir bagi menyelaras aduan, bantuan dan pemantauan operasi secara 24 jam melibatkan Sarawak Water bersama agensi berkaitan.
Orang ramai di kawasan terjejas dinasihatkan supaya menyimpan bekalan air secukupnya lebih awal serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan.
Terdahulu, beliau mempengerusikan mesyuarat penyelarasan bagi membincangkan persediaan, koordinasi operasi, komunikasi awam serta tindakan berkaitan pelaksanaan kerja-kerja baikpulih paip utama di Batu 7, Jalan Miri-Bintulu.
Turut hadir Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Datuk Lukanisman Awang Sauni; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak. (Pembangunan Usahawan) merangkap ADUN Lambir Datuk Dr. Ripin Lamat serta secara talian Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin; Pengurus Kanan Operasi Sarawak Water Sdn Bhd, Ir. Ts. Gs. Br. Zaid Iskandar Jaraiee serta wakil dari pelbagai agensi.- EDISI UKAS