Bintulu Kini Dalam Rangkaian Industri Global Bernilai USD808 Bilion
KUCHING: Pengiktirafan Bintulu dalam Peralihan Kluster Perindustrian (TIC) secara rasmi meletakkan negeri ini dalam rangkaian industri global bernilai kira-kira USD808 bilion di bawah Forum Ekonomi Dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak dalam landskap ekonomi hijau dan industri masa depan dunia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penyertaan Bintulu dalam rangkaian yang merangkumi 39 kluster industri di 20 negara itu meletakkan Sarawak sebaris dengan pusat-pusat perindustrian utama dunia yang sedang menerajui transformasi ke arah industri rendah karbon.
“Secara kolektif, kluster-kluster ini mewakili pengeluaran ekonomi bernilai kira-kira USD808 bilion, menyediakan 6.6 juta peluang pekerjaan serta berpotensi mengurangkan sehingga 870 juta tan pelepasan karbon,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucaptama dalam Majlis Pelancaran TIC Bintulu: Kluster Pertama Malaysia di bawah Forum Ekonomi Dunia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, masa depan daya saing industri tidak lagi bergantung kepada syarikat secara individu, sebaliknya dibina melalui ekosistem yang menggabungkan industri, kerajaan, institusi kewangan, penyedia teknologi dan institusi penyelidikan.
Melalui rangkaian TIC katanya, Bintulu akan memperoleh akses kepada kepakaran antarabangsa, teknologi terbukti serta kerjasama strategik dalam bidang tenaga bersih, hidrogen, pendigitalan, pengurusan karbon, ekonomi kitaran dan pembangunan modal insan.
“Nilai sebenar penyertaan ini terletak pada keupayaannya menghubungkan Bintulu dengan satu gerakan global yang sedang mentakrif semula cara wilayah perindustrian berkembang, bersaing dan melaksanakan penyahkarbonan.
“Kluster perindustrian merupakan tunjang kepada ekonomi sesebuah negara kerana ia menjana peluang pekerjaan yang signifikan dan pada masa yang sama, sektor ini juga menyumbang kepada sebahagian daripada pelepasan karbon yang paling mencabar untuk dikurangkan,” jelas beliau lagi.
Malah ujar beliau, kejayaan ini membuktikan bahawa pembangunan industri dan kelestarian boleh bergerak seiring dalam usaha menjana pendapatan dan pekerjaan serta memimpin usaha mengurangkan pelepasan karbon pada skala yang signifikan.
Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri-Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Pengarah Urusan Forum Ekonomi Dunia Neo Gim Huay serta tetamu kenamaan yang lain. -EDISI UKAS